Sebagian tubuh badan manusia terdiri daripada air. Air yang kita minum bukan sahaja untuk menghilangkan haus (dahaga). Air juga berperanan dalam proses pengawalan suhu tubuh, keseimbangan cecair dalam badan dan lain-lain.
Selain itu air juga merupakan komponen penting yang menyusun sel-sel di seluruh tubuh badan kita. Jika tubuh kekurangan cecair atau mengalami dehidrasi, maka sistem dalam tubuh tidak akan berfungsi secara normal.
Kekurangan cairan juga akan mengakibatkan keseimbangan gula dan garam di dalam tubuh terganggu.
TANDA-TANDA KEKURANGAN AIR
Haus atau dahaga adalah tanda normal tubuh kita perlukan air. Cara terbaik ialah minum sebelum tekak rasa haus dan lebihkan minum air kosong. Ramai orang tersalah anggap bahawa bila kita rasa lapar, kita kena selalu makan. Kekurangan air dalam tubuh juga boleh menyebabkan rasa lapar terutamanya di antara waktu makan utama.
Cara terbaik ialah sebelum kita mencapai makan, terlebih dahulu kita minum segelas air. Ini dapat membantu diet pemakanan kita dengan lebih baik.
Disini Hariz kongsikan 10 tanda kekurangan air dan cara mengatasinya.
1. Bibir Dan Mulut Menjadi Kering
Kulit sekitar mulut dan bibir ialah petunjuk yang baik untuk memberitahu sama ada anda mengalami dehidrasi. Satu tanda dehidrasi ialah mulut kering dan lidah yang sedikit membengkak.
Ini ialah tanda mudah bahawa tubuh badan kita memerlukan air. Dalam kondisi begini anda disarankan untuk meminum air putih dibandingkan dengan minuman manis.
2. Mulut Berbau
Air liur kita mengandungi bahan anti-bakteria yang membantu melawan bau. Kekurangan air bermakna kurang air liur dihasilkan, lalu bakteria boleh membiak lebih banyak.
Minum air bukan sahaja boleh mengatasi masalah ini, tetapi juga memberi rasa selesa pada mulut.
3. Sakit Kepala
Sakit kepala ini berpunca daripada reaksi otak yang sensitif terhadap satu reaksi kimia dalam badan akibat kekurangan air dan penyusutan jumlah plasma darah.
Keadaan ini menjadikan otak mengecut untuk mengimbangi kekurangan cairan dan tarikan antara otak yang mengecut dan tengkorak boleh menyebabkan sakit kepala.
Minumlah air dan boleh ambil ubat-ubatan jika perlu bagi mengawal sakit kepala.
4. Kulit Kering
Jika anda kurang berpeluh dan kulit kelihatan kering juga adalah tanda anda kekurangan air. Kekurangan air juga boleh menyebabkan penurunan fungsi dalam membersihkan lebihan kotoran dan minyak dari badan.
Jadi pastikan anda meminum air secukupnya mengikut berat badan anda (minimum 1 liter air untuk setiap 25 kg berat badan).
5. Kulit Kendur
Kulit yang muda dan sihat lebih tegang dan anjal. Kekurangan air boleh menyebabkan kulit kurang anjal lalu lebih mudah terjejas oleh persekitaran.
Minumlah air yang cukup supaya tidak kelihatan lebih tua akibat kulit yang tidak sihat.
6. Mudah Sakit Mata
Kurangnya konsumsi air putih dapat menyebabkan saluran air mata anda mengering. Ditambah pula dengan gaya hidup yang kerap melihat smartphone, televisyen dan komputer akan membuat mata anda lebih cepat kering dan merah.
Banyakkan minum air putih dan pastikan mata sentiasa lembab. Penggunaan eye drop boleh membantu mengurangkan sakit mata dan iritasi.
7. Otot Mudah Kejang
Kekejangan otot ialah satu tanda yang anda perlu minum lebih banyak air. Sekiranya anda aktif bersenam dan bersukan, kejang otot mungkin tanda dehidrasi dan juga kekurangan elektrolit.
Pastikan minum lebih banyak air dari biasa bila bersenam dan bersukan.
8. Air Kencing Bewarna Gelap
Warna air kencing sebenarnya ialah petunjuk kesihatan keseluruhan tubuh. Warna kencing yang cerah ialah tanda yang baik, menunjukkan anda telah minum air dalam jumlah yang secukupnya. Manakala warna air kencing yang pekat pula menunjukkan kadar dehidrasi meningkat.
Minumlah banyak air kosong sehingga air kencing berwarna cerah.
9. Sembelit
Kekurangan cecair akibat cirit-birit atau muntah juga boleh mengakibatkan dehidrasi.
Pengambilan air yang kurang pula dapat mengakibatkan sistem pencernaan tidak dapat bekerja secara optimum. Ia menyebabkan penyerapan dan pergerakan makanan di dalam usus terganggu lalu mengeraskan najis dan menyebabkan sembelit.
10. Cepat Penat
Rasa cepat penat mungkin disebabkan kekurangan air yang menjadi punca tekanan darah tidak dikawal dengan sempurna. Kekurangan air juga menyebabkan jumlah darah yang kurang sehingga mengurangkan juga kadar oksigen di dalam otak.
Banyakkan minum air kosong jika terdapat tanda-tanda awal kekurangan oksigen seperti kerap menguap dan cepat rasa mengantuk.
Pesanan Hariz
Sekiranya tidak dirawat, dehidrasi yang teruk boleh menjadi serius sehingga menyebabkan sawan, kerosakan otak dan kematian.